Telah ku katakan sebelumnya, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Dan itulah juga ungkapan yang kerap diulang-ulang oleh mereka yang arif tentang cinta. Ramai yang kurang bersetuju dengan kata-kata ini. Masakan begitu, detik hati kita. Teringat kembali detik mengetahui cinta kita telah diterima oleh si dia… Ah, gembiranya saat itu. Dunia ini seakan tersenyum. Bulan, mentari dan bintang seakan turut bersama kita meraikan detik yang sangat indah itu. Bukankah dicintai lebih utama daripada dipercayai? Hati kita berkata-kata.
Musim berlalu. Alam rumah tangga yang kita bina bersamanya menongkah arus ujian. Pelbagai suka duka, pahit manis diharungi bersama. Kata orang, semakin tinggi pokok yang kita panjat, semakin kuat pula angin yang menggoyang. Maksudnya, semakin tinggi puncak kehidupan ini kita daki maka semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Warna sebenar (true colours) kita dan pasangan kita akan terserlah. Pada ketika itu segala yang pahit, masam, busuk akan terserlah…
Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggung jawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. “Perasaan” adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan “bekerja” untuk kita, bukan sebaliknya.
Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggung jawab dan tanggung jawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumah tangga, tanggung jawab akan datang menyelamatkan “pertunjukan” dengan peranan yang lebih berkesan.
Cuba bayangkan, ketika isterimu hamil, muntah-muntah, rambut kusut dan badannya tidak terjaga lagi kerana menanggung derita tempoh mengandung, ketika mulutnya mula becok mengasuh dan mengelolakan anak yang berderet selang setahun, atau ketika suamimu termenung memikirkan belanjawan rumah yang semakin meningkat atau keceriaannya semakin menurun gara-gara sibuk mengejar tugasan yang bertali arus… Bagaimana? Masih berserikah wajah sidia seperti yang kita lihat pada malam pertama?
Atau lebih menguji lagi apabila umur perkahwinan semakin lanjut dan kita sudah mencecah usia senja. Pada saat itu darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol, obesiti dan malam-macam penyakit mula bertamu. Mungkin kita selamat, isteri pula yang menghidapnya. Bagaimana? Sanggupkah kita menjaganya dengan setia? Membawanya ke hospital memenuhi rutin rawatan, memastikan segala ubat-ubat dimakannya menepati jadual, atau lebih “ekstrem” lagi terpaksa menyuap makan-minumnya ketika dia sudah terbaring kesakitan serta menukar kain lampin kerana dia sudah tidak mampu mengurus diri?
Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggung-jawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tangung jawab. Cinta itu untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz, “aku terima nikah,” oleh kita sebagai suami musim lalu bukan bererti kita menerima sebaliknya untuk memberi. Kita memikul tanggung jawab untuk memberi kasih-sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan segalanya…
Pun begitu bagi si isteri… penerimaan mu sebagai pasangan hidupnya bukan ertinya untuk kau menerima tetapi untuk memberi – memberi kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan seluruh jiwa raga mu untuknya. Kau telah membuat satu aku janji yang paling suci dan tinggi dalam hidup mu, bukan untuk seseketika tetapi untuk selama-lamanya. Bukan hanya ketika suami mu bertubuh kekar, tetapi sehinggalah dia terlantar. Bukan hanya ketika rambutnya hitam tersisir rapi, tetapi hingga rambutnya putih dan mungkin tidak tumbuh-tumbuh lagi!
Itu baru ujian luaran. Belum lagi ujian dalaman yang berbentuk cemburu, jemu, marah, curiga dan lain-lain “virus” perhubungan. Berapa banyak hubungan yang terputus atau tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hilangnya kepercayaan.
“Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?”
“Tergodakah dia bila di belakangku?”
Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Fobia dan trauma ini sering melanda rumah tangga. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.
Pernah anda lihat si suami yang “diganggu” panggilan telefon oleh isterinya setiap selang 15 minit sekali? Aduh rimasnya. Betulkah itu kerana cinta atau kerana curiga. Pada hal cinta itu membebaskan bukan mengawal. Jika kita benar cintakan suami atau isteri, dan cinta itu ditunjangi oleh kepercayaan, kita tidak akan mengawalnya bahkan kita akan membebaskannya. Terbanglah ke mana kau suka, insya-Allah kau akan kembali jua. Justeru hati mu… tetap di sini, di hati ku!
“Ini bil makan, abang makan dengan siapa?”
“Lain macam sahaja mesranya SMS ini, ada apa-apa ke ni?”
“Eh, banyak yang abang beli ni. Tetapi kenapa nampak sedikit sahaja yang dibawa pulang ke rumah?”
Itulah soalan-soalan isteri yang menyebabkan suami terkial-kial menjawabnya. Pada suami semua itu remeh temeh, tetapi tidak pada isteri yang tidak percaya, semua itu boleh dijadikan modal “perang besar”. Kalau si suami disyaki ada di tempat yang tidak sepatutnya ada atau pada waktu yang tidak sesuai, siap sedialah menghadapi hukuman jika gagal memberikan “alibi”!
Itulah gara-gara sama ada isteri tidak mempercayai suami atau suami tidak mempercayai isteri atau kedua-duanya sudah saling tidak mempercayai! Bukan kerana tidak ada cinta tetapi kerana hadirnya sebuah curiga akibat hilang rasa percaya. Sebab itu mengikut kajian, penceraian banyak berlaku bukan sahaja pada pasangan yang sudah kehilangan cinta tetapi pada pasangan yang terlalu cinta.
Tidak percayakan seseorang disebabkan dua faktor. Pertama, kita belum benar-benar mengenalinya. Kedua, kerana kita telah benar-benar mengenalinya. Jika disebabkan faktor yang pertama, jalan terbaik ialah kenalilah pasangan anda dengan lebih mendalam. Berkenalan kali pertama dahulu (seawal usia perkahwinan) adalah untuk menumbuhkan bibit-bibit cinta. Tetapi perkenalan kali kedua, ketiga dan seterusnya yakni setelah usia perkahwinan meningkat adalah untuk menyuburkan bibit-bibit percaya. Adalah salah sekali kalau kita beranggapan yang kita telah kenal pasangan kita dan terus menghentikan proses perkenalan. Sedangkan proses perkenalan dalam rumah tangga adalah “on going” (berterusan) sifatnya.
Kenal itu sangat berkait dengan rasa cinta. Dan cinta sejati dalam sebuah rumah tangga adalah dibina atas perkenalan bukan sahaja dengan kebaikan pasangan kita tetapi juga dengan keburukannya. Ya, kita sanggup menerima bukan sahaja yang indah tetapi juga yang hodoh pada wajah batin pasangan kita. Keburukannya akan kita
Kita akan terus mempercayainya walau apa pun keadaan. Kita mengingatkan bila dia terlupa dan membantunya sewaktu dia ingat. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggung jawab dan tanggung jawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.
Jika anda bertanya bagaimana memupuk kepercayaan? Jawabnya, kembalilah kepada kepercayaan-kepercayaan yang asas dan teras. Apa lagi jika bukan Rukun Iman? Binalah semua jenis percaya di atas enam kepercayaan itu. Jika suami dan isteri percayakan Allah, dan sama-sama berpegang kepada kehendak-Nya, maka mereka akan saling mempercayai antara satu sama lain. Percayalah kepercayaan kepada Allah itu adalah simpulan yang mengikat kepercayaan sesama manusia.
Sebab itulah kepercayaan juga disebut sebagai akidah – ertinya simpulan. Simpulan yang mempertautkan segala kebaikan. Ya, kepercayaan kita kepada Allah akan menyebabkan pasangan kita mempercayai kita.
“Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama.”
“Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu…”
Bila hancur sebuah cinta bererti hancurlah satu kepercayaan. Bila hancur kepercayaan bererti hancurlah iman. Wahai suami, wahai isteri… sekali lagi ku tegaskan inilah oksigen cinta. Dan bagi semua yang masih belum mengenal cinta (antara lelaki dengan wanita), burulah sesuatu yang lebih indah daripada dicintai… itulah dipercayai!
Bukankah nabi Muhammad itu lebih dahulu mendapat gelar ”Al Amin” (dipercayai) sebelum menemui srikandi cintanya Siti Khadijah?
20 comments:
takut plak nak mnempuh alam umah tangga..=)
hrap2 "cinta" tuh dpt di kekalkan..
nise sharing..=)
i likeeeeeeeeeeee..
nice one..
hehehehe...kalu ambe tak kenal demo,mesti ambe rokyat demo ni nikoh doh lepah baco entri nih,hehehe...
orang yang lebih berusia selalu berpesan yang dunia bercinta dan kahwin tak sama.... kita hanya jumpa pasangan waktu dating tapi bila kahwin kita jumpa setiap hari.... segala yang pasangan kita tak lakukan sewaktu dating akan kita ketahui bila dah kawen.... sebab 2 xlogik la jika sewaktu bercinta kita kata kita tahu semua tentang pasangan kita sebab the true face hanya kita tahu bila dah berkawen... baik mahupun buruk pasangan kita perlulah kita terima seadanya sebab itu adalah pelengkap kita yang juga ada kekurangan diri... jangan hanya mendabik dada dan menuding pada pasangan sahaja.... ^^V
suke entri ni..ase nak share..bole tak?? huhu..
@@Atika Natasha
Rumah tangga adalah suatu kehidupan yg penuh pancaroba.. di situ la kita kena ada sifat sabar, prihatin dan pelbagai sifat kena d kongsi.. agar kekal tuk selamanya
@@ZWAN SABRI
thanks
@@ijatnuar87
dialek negowi ke ni??
@@shichi_iza
saya stuju 100% kata-kata kamu tu..
@@Ojan
d persilakan
hehehhe...kawe kechek klate tu,heehhe
@@ijatnuar87
alamak knp kawe x leh detect demo kecek qlate.. malu kawe.. huhu
thanks! sy share kat FB..huhu
@@ojan
ok welcome
heheheh...relek2 cikgu...maner la tau kan,ader rejeki boleh ore klate,hehehe
@@ijatnuar87
wui.. wui.. wui.. jgn ar pggil aku dgn gelaran tu.. macam ada boundary d situ huhuhu.. Apa maksudmu boleh ore klate?? hahaha
isk,baundary mender plop...ok aper panggilan cikgu tu..panggilan yang takkan ilang smpai la biler2...wat2 tak paham plak,hehehe
@@ijatnuar87
hehehe... iya la..
as salam..
syukran..suka baca entri2 macam ni.
apa-apa pun, saya berserah kepada-Nya setelah berusaha :)
@@...
tuk sharing kita bersama..
Post a Comment