Adakah engkau ingin hidup selama-lamanya dalam dunia yang akan musnah bila-bila masa?"… Hidup kita di atas dunia ni, selama manapun, pasti ada akhirnya. Selama manapun, sebenarnya singkat. Firman Allah:
"(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja." (An-Naazi'aat: 46)
Allah menerangkan dalam satu ayat lain yang panjang tentang hakikat dunia:
"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang) juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Al-Hadiid: 20)
Penyakit wahan (cinta dunia, takut mati) telah menjerumuskan kebanyakan daripada kita ke dalam angan-angan yang panjang.
Daripada Tsauban RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'." Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati."
(Riwayat Abu Daud)
Kalau boleh, kita mahu dunia ni kekal. Kita mahu hidup selama mungkin di atasnya, mahu mengumpul segala harta dan kekayaan, mengecap segala nikmat dan kesenangan. Hakikatnya, kita tidak mungkin tahu berapa lama kita hidup. Namun, kita boleh memilih sama ada ingin melalui kehidupan dengan penuh berjasa atau pergi tanpa membawa atau meninggalkan bekal.
Ada orang yang masih hidup namun mematikan orang lain dengan kehidupannya. Ada orang yang telah mati namun masih menghidupkan orang lain. Bukan soal fizikal, tapi soal hati. Apabila seorang manusia berbuat sewenang-wenangnya seperti yang dia kehendaki, maka pasti akan ada orang yang dizalimi. Dia hidup, namun mematikan semangat orang lain. Lebih parah kalau dia hidup lebih lama. Di sisi lain, ada ramai orang yang telah mati, namun membaca sejarah hidupnya dan mengkaji perjuangannya membuatkan jiwa sentiasa hidup, segar dan bertenaga. Mereka itulah jika hidup walau sekejap, memberi impak maksima. Apatah lagi jika hidupnya lama.
Rasulullah SAW hidupnya 63 tahun sahaja, namun risalah yang dibawanya terus tersebar selama beratus tahun. Akhlak dan cara hidup baginda tak pernah lapuk ditelan zaman. Sejarah hidup baginda sentiasa evergreen untuk dikaji, diteliti dan diambil pelajaran. Hanya 23 tahun yang diberikan kepada baginda untuk menyebarkan Islam, namun beratus tahun Islam hidup dan berkembang. Imam Syafi'i hidup selama 50 tahun lebih sahaja, namun keluasan ilmunya masih begitu bermakna kepada dunia hari ini dan akan datang. Mus'ab Umair telah membuktikan kesungguhannya berdakwah di Madinah hanya beberapa tahun, bahkan beliau syahid dalam usia yang begitu muda. Namun asas yang telah dipancangnya menjadi nukleus kepada perkembangan tamadun Islam.
Hassan Al-Banna cuma hidup 40 tahun lebih untuk mengasaskan sebuah gagasan yang membawa gelombang kebangkitan Islam, sebelum beliau syahid dibunuh musuh. Namun kata-kata beliau masih menjadi rujukan para Da'i hari ini dan pemikiran beliau menjadi bahan kajian di seluruh dunia. Salahuddin Al-Ayyubi cuma hidup lebih kurang 55 tahun, namun kejayaannya membebaskan bumi Palestin tercatat sehingga kini dan menjadi inspirasi para pejuang Islam. Begitu juga dengan Sultan Muhammad Al-Fateh, hidup beliau tidak sampai 50 tahun, namun kegemilangan yang telah diukir dalam pembebasan Konstantinopel akan terus menjadi sebutan.
Mereka adalah wira-wira dan pahlawan yang telah menumpahkan bakti yang begitu besar kepada seluruh dunia. Mereka hidup berjasa, biarpun hidup mereka tidak lama. Golongan seperti mereka, jika hidupnya lebih lama tentu lebih besar manfaatnya. Banyak lagi nama-nama yang boleh kita sebutkan, ada yang singkat umurnya, ada yang panjang. Intinya, jasa mereka begitu besar jika direlatifkan dengan umur yang diberikan kepada mereka.
Bagi kita, apakah sebenarnya yang kita kejar? Memanjangkan tempoh hayat atau memaksimumkan amal dan jasa? Tak salah kita berdoa agar dipanjangkan umur, bahkan ia akan lebih bererti jika umur yang dianugerahkan itu kita gunakan sebaik mungkin untuk menumpahkan bakti kepada Umat.
Selama manapun kita hidup, berjasalah! Supaya kita 'hidup' untuk beratus-ratus tahun lagi. Semoga kita hidup dengan petunjuk Allah.
"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." (Al-An'am: 125)
6 comments:
CUMA SATU KITA PERLU INGAT DARIPADA ALLAH KITA DATANG,KEPADA ALLAH KITA KEMBALI.Semua sudah tertulis di LUH MAHFUZ.kita cuma perlu bersedia sahaja.
kehidupan di dunia singkat dan tidak kekal lama . maka berusaha la kita sentiasa mencari ilmu , dan kebaikan sebagai bekalan di dunia yang kekal abadi yakni akhirat~
Rasulullah dan yang seangkatan dengan baginda hidup melebihi zamannya...subhanallah...
lama tak dengar khabar dari blog ni..salam Maulidur Rasul cikgu awang~
@@Eyrique Ettiqaz.
semua yg kita ada adalah milikNYA
@@ LehaMY
usaha mncari top up tuk d alam lain
@@Sunah Mohammad
salam maulidur rasul tuk kamu jg..
maap la kebizian kebelakangan ni
Post a Comment