“Maka, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku, dan sunnah para khulafa’ ar-Rasyidin al-Mahdiyyin dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.” — Abu Daud dan Tirmizi.
Kalau kita melihat perkembangan hari ini, masyarakat kita sudah jauh daripada agama. Dan, sifat menjauhi agama ini adalah sikap orang-orang yang suka menjauhi akhirat. Sedangkan kewujudan akhirat itu adalah suatu kepastian.
Menjauhi akhirat ertinya kita seperti berusaha mengelak menemui kematian. Kematian menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Mati mengejut secara tiba-tiba ini sepatutnya meresahkan kita kerana kita mungkin terheret dalam kancah kematian tanpa memiliki sebarang persediaan untuk menemui Tuhan.
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah bersabda bahawa orang yang pintar dan bijaksana itu ialah mereka yang selalu berfikir mengenai kematian. Mengapakah mereka yang kerap mengingati mati itu dinilai dan diperhitungkan sebagai manusia yang bijaksana? Ini kerana, mereka selalu berasa resah, gelisah, khuatir dan bimbang kalau-kalau amalan mereka masih tak mencukupi untuk dibawa pulang ke akhirat.
Tambah merisaukan mereka, jika amalan itu dibungkus oleh pakaian ujub, riak, sum’ah dan tidak ikhlas mengerjakan amalan itu kerana Allah. Kekhuatiran yang semacam inilah yang akhirnya menyebabkan seseorang itu terdorong pula untuk berdoa meminta keampunan dan beristighfar semoga amalan mereka itu diberikan pakaian ikhlas oleh Allah s.w.t.
Mengingatkan rakyat mengenai kematian adalah sunnah nabi dalam pemerintahan Berdasarkan hadis di atas yang menyingkap perihal sunnah, maka kita melihat bagaimana pemimpin terdahulu seperti baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda Khulafa’ ar-Rasyidin al-Mahdiyyin kerap mengingatkan rakyat berhubung kematian dan alam barzakh.
Maka, tindakan mengingatkan rakyat berhubung kematian dan segala persiapan untuk menempuh ke alam barzakh ini, termasuk dalam sunnah-sunnah nabi dan para sahabat baginda dalam menjalankan tanggungjawab dan kewajipan mereka dalam pentadbiran Islam. Pemerintahan Islam bukan sekadar memperihalkan hal urusan dunia.
Bahkan, hal yang menyangkut membangunkan kesedaran untuk membangunkan persiapan ke akhirat adalah termasuk dalam urusan pemerintahan Islam juga. Antara kisah termasyhur adalah kisah Umar r.a melihat umat Islam zaman beliau yang kurang dalam mengingati mati.
Maka, suatu hari Umar perintahkan umat Islam datang ke masjid dan mereka langsung disoal dengan soalan-soalan di dalam kubur. Diringkaskan cerita, semua umat Islam mula terkesan dengan latihan dan tarbiyah seumpama itu. Maka meningkatlah amalan mereka kerana terkesan dengan corak latihan tarbiyyah dari Umar itu. Maka, inilah sunnah Umar yang wajar diikuti.
Umar juga berkata, ajarkanlah anak-anak kalian dengan ilmu pengetahuan semasa dan terkini. Jika Umar masih hidup lagi pada zaman kita dan beliau melihat perkembangan teknologi seperti Imej Janaan Komputer (CGI) dan lain-lain teknologi yang kreatif dalam usaha membangunkan kesedaran untuk mengingatkan rakyat berhubung kematian, nescaya Umar akan guna semua peralatan itu untuk tujuan membangunkan kesedaran betapa perlunya persiapan menempuh akhirat.
Tiada salahnya pemerintah berkreatif mengingatkan rakyat atau rakyat mengingatkan pemerintah mengenai persiapan untuk menempuh kematian.
Di Kampung Tok Selehor, seorang ulamak terkenal yang hidup sezaman dengan Tok Kenali, iaitu Tok Selehor telah mengguna teknologi tersendiri, iaitu membina lubang kubur yang mana dia sendiri masuk ke dalamnya untuk mengingatkan dirinya tentang kematian.
Teknologi, laluan lebuh raya bahasa, lapangan sastera untuk ingat kematian. Tiada salahnya menggunakan peralatan teknologi terkini dalam usaha mengingatkan orang-ramai mengenai kematian.
Ajarlah generasi muda mengingati mati. Didiklah, asuhlah, adabkanlah pelajar-pelajar sekolah agar selalu cenderung mengingati mati dan secara tidak langsung mereka akan terdorong membanyakkan amalan dan selalu melatih diri agar bersifat ikhlas dalam beramal.
oleh : H Fansuri
No comments:
Post a Comment