"Letakkan dunia di telapak kakiku, biar kupijak. Simpankan akhirat dalam jiwaku biar kurindu. Sisipkan Cinta dalam hidupku biar aku menjadi aku. Langit tunggu kutawan, bumi tunggu kulakukan perubahan" Perjalanan yang jauh, yang masih menungguku.. apakah yang akan terjadi pada masa hadapan...

Followers

! kurasakan something...

Sunday, July 8, 2012

SELAMATKAH BERCINTA DI ALAM MAYA ??



Ramai orang terpedaya untuk memulakan hubungan dengan kenalan alam maya kerana terpengaruh dengan imej baik yang sengaja dicipta dan ditunjukkan – Gambar hiasan




Kes pasangan bercinta melalui alam maya bukan lagi isu biasa. Isu ini ada pro dan kontranya.

Realitinya, individu tidak kira lelaki atau wanita mudah terpedaya dengan cinta alam maya kerana mereka ini terlibat dengan perhubungan tidak nyata.

Secara khususnya, mereka ini tertipu dengan kebaikan diri pasangan yang tidak dikenali secara zahir dan berterus-terang.

Lazimnya, setiap individu akan berusaha untuk menonjolkan yang terbaik bagi menambat hati rakan baharu yang dirasakan sesuai menjadi teman istimewa.

Hubungan siber jadi lebih indah apabila pasangan baharu untuk memahami kekalutan yang dihadapi, kononnya sedia berkongsi apa sahaja permasalahan.

ZINA SIBER

Terdapat kes pasangan yang bermasalah disebabkan si suami berzina menerusi internet, menggunakan e-mel untuk mengirimkan gambar-gambar bogel kepada pasangan.

Perhubungan bertemu muka tidak berlaku dan sekadar bertukar gambar bogel masing-masing (secara spesifik, gambar alat sulit masing-masing sahaja, tanpa wajah) disertakan dengan ayat-ayat yang merangsang nafsu.

Si isteri yang terjumpa kesemua e-mel itu pastinya tidak dapat bersabar apatah lagi menerima.

Bukan saja suami, satu kes hujung tahun lalu, perkahwinan berusia enam bulan berakhir apabila suami mendapat tahu kerja jahat si isteri bermesej lucah dengan rakan-rakan siber.

Hakikatnya, walau secara siber, tanpa pertembungan dua jasad, arahan syarak agar jangan mendekati zina telahpun berlaku dalam kes-kes di atas.

Bukan saja berdosa, malah ia boleh merosakkan kebahagiaan perkahwinan dan diri sendiri. Mereka yang mendapat kepuasan melalui seks alam siber ini boleh dikategorikan sebagai melakukan onani dan boleh memberikan kesan kepada hubungan seksual suami isteri juga.

BERTINDAK PROFESIONAL

Tidak ada salahnya suka berinternet atau mencari rakan di alam maya, Cuma perlu pastikan anda bertindak profesional dengan menjadikannya sebagai satu kemudahan untuk mempertingkatkan keperibadian dan kecemerlangan, bukan untuk merosakkan diri sendiri dan insan sekeliling.

Internet boleh digunakan untuk memudahkan segala urusan hidup seharian selain dapat merapatkan hubungan suami isteri yang berhubungan jarak jauh malah suami isteri yang tinggal serumah.

Ikhlaskan niat anda untuk menggunakan kemudahan teknologi yang ada ini dan berusaha untuk tidak merenggangkan hubungan suami isteri atau keluarga. Pastikan biar apa jua yang dilakukan, pasangan dan anak-anak lebih diutamakan.

Anda juga boleh berkawan semula dengan bekas kekasih atau bekas pasangan anda di alam maya. Tiada masalah kerana perpisahan yang berlaku dalam hubungan cinta atau perkahwinan bukan satu alasan untuk terus memutuskan silaturahim.

Apa yang penting adalah anda perlu bijak dalam berkomunikasi dan tidak melampaui batas sebagai seorang rakan semata-mata. Pastinya anda tahu menghargai individu yang lebih utama dalam hidup anda.

Kalau daripada kawan boleh menjadi kekasih, kenapa tidak kekal berkawan selepas kasih berakhir?

Perlu profesional dalam berkawan, bukan hanya kerjaya.

Bagi pelayar laman-laman jalinan sosial ini, anda perlu ikhlas dan fokus terhadap tujuan anda melayari laman tersebut. Jangan saja-saja melayarinya tanpa matlamat.

Kalau nak cari kenalan, pastikan hubungan betul-betul berjalan dalam keadaan yang dibenarkan oleh syarak dan moral masyarakat yang lazim bukan yang luar biasa hingga meminggirkan amalan budaya tradisi.


1 comment:

the malay male said...

jgn cepat percaya kepada individu yg dikenali menerusi internet. ambil masa untuk mengenali dgn lebih dekat di dunia luar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...