Ramai orang terpedaya untuk memulakan hubungan dengan kenalan alam maya
kerana terpengaruh dengan imej baik yang sengaja dicipta dan ditunjukkan –
Gambar hiasan
Kes pasangan bercinta melalui alam maya bukan lagi isu biasa.
Isu ini ada pro dan kontranya.
Realitinya, individu tidak kira lelaki atau wanita mudah
terpedaya dengan cinta alam maya kerana mereka ini terlibat dengan perhubungan
tidak nyata.
Secara khususnya, mereka ini tertipu dengan kebaikan diri
pasangan yang tidak dikenali secara zahir dan berterus-terang.
Lazimnya, setiap individu akan berusaha untuk menonjolkan
yang terbaik bagi menambat hati rakan baharu yang dirasakan sesuai menjadi
teman istimewa.
Hubungan siber jadi lebih indah apabila pasangan baharu
untuk memahami kekalutan yang dihadapi, kononnya sedia berkongsi apa sahaja
permasalahan.
ZINA SIBER
Terdapat kes pasangan yang bermasalah disebabkan si suami
berzina menerusi internet, menggunakan e-mel untuk mengirimkan gambar-gambar
bogel kepada pasangan.
Perhubungan bertemu muka tidak berlaku dan sekadar
bertukar gambar bogel masing-masing (secara spesifik, gambar alat sulit
masing-masing sahaja, tanpa wajah) disertakan dengan ayat-ayat yang merangsang
nafsu.
Si isteri yang terjumpa kesemua e-mel itu pastinya tidak
dapat bersabar apatah lagi menerima.
Bukan saja suami, satu kes hujung tahun lalu, perkahwinan
berusia enam bulan berakhir apabila suami mendapat tahu kerja jahat si isteri
bermesej lucah dengan rakan-rakan siber.
Hakikatnya, walau secara siber, tanpa pertembungan dua
jasad, arahan syarak agar jangan mendekati zina telahpun berlaku dalam kes-kes
di atas.
Bukan saja berdosa, malah ia boleh merosakkan kebahagiaan
perkahwinan dan diri sendiri. Mereka yang mendapat kepuasan melalui seks alam
siber ini boleh dikategorikan sebagai melakukan onani dan boleh memberikan
kesan kepada hubungan seksual suami isteri juga.
BERTINDAK PROFESIONAL
Tidak ada salahnya suka berinternet atau mencari rakan di
alam maya, Cuma perlu pastikan anda bertindak profesional dengan menjadikannya
sebagai satu kemudahan untuk mempertingkatkan keperibadian dan kecemerlangan,
bukan untuk merosakkan diri sendiri dan insan sekeliling.
Internet boleh digunakan untuk memudahkan segala urusan
hidup seharian selain dapat merapatkan hubungan suami isteri yang berhubungan
jarak jauh malah suami isteri yang tinggal serumah.
Ikhlaskan niat anda untuk menggunakan kemudahan teknologi
yang ada ini dan berusaha untuk tidak merenggangkan hubungan suami isteri atau
keluarga. Pastikan biar apa jua yang dilakukan, pasangan dan anak-anak lebih
diutamakan.
Anda juga boleh berkawan semula dengan bekas kekasih atau
bekas pasangan anda di alam maya. Tiada masalah kerana perpisahan yang berlaku
dalam hubungan cinta atau perkahwinan bukan satu alasan untuk terus memutuskan
silaturahim.
Apa yang penting adalah anda perlu bijak dalam
berkomunikasi dan tidak melampaui batas sebagai seorang rakan semata-mata. Pastinya anda tahu menghargai individu yang lebih
utama dalam hidup anda.
Kalau daripada kawan boleh menjadi kekasih, kenapa
tidak kekal berkawan selepas kasih berakhir?
Perlu profesional dalam berkawan, bukan hanya kerjaya.
Bagi pelayar laman-laman jalinan sosial ini, anda perlu
ikhlas dan fokus terhadap tujuan anda melayari laman tersebut. Jangan saja-saja
melayarinya tanpa matlamat.
Kalau nak cari kenalan, pastikan hubungan betul-betul
berjalan dalam keadaan yang dibenarkan oleh syarak dan moral masyarakat yang
lazim bukan yang luar biasa hingga meminggirkan amalan budaya tradisi.
1 comment:
jgn cepat percaya kepada individu yg dikenali menerusi internet. ambil masa untuk mengenali dgn lebih dekat di dunia luar.
Post a Comment